~Doa~


Ku Percaya Kan Ada Kemanisan Dipenghujung Sebuah Kesabaran

......"Ya Tuhan kami,janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami,ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami".....

Ya Allah, jadikan hati kami Khazinatul Asrar yang didalamnya dipenuhi Syajaratul Iman. Jadikanlah kami Raudatul Sakinah supaya kami membuktikan Elya Mahabbah kami hanya kepadaMu. Jadikanlah kami ini Ainul Mardhiah buat ibu bapa kami agar kami menjadi Qurratul 'Ayyun buat mereka. Jadikanlah pertuturan kami ini Layyinul Harir agar kami menjadi Khairun Nisa' dikalangan kami. Jadikanlah kami Mujahidah Solehah buat agama kami agar kami dapat masuk ke Jannatul Adnain milikMu Ya Allah. Dan berikanlah kepada kami di akhirat kelak cahaya syuhada' yang menjadi bukti perjuangan kami di muka bumiMu ini.amin......

Sayang Menyayangi


Hadith :
Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)

Huraian
Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. 

Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. 

Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.



Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
(Riwayat Abu Daud)

Huraian:
Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

15 Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala


LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA

Ertinya:
Daripada  Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1.Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2.Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3.Zakat dijadikan hutang.

4.Suami memperturutkan kehendak isteri.

5.Anak derhaka terhadap ibunya,

6.Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7.Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8.Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9.Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10.Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11.Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12.Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13.Para artis-artis disanjung-sanjung.

14.Muzik banyak dimainkan.

15.Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain".

(H.R Termizi)

Keterangan

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.
-dipetik daripada 40 hadith peristiwa akhir zaman



Ujian Allah S.W.T


ORANG MUKMIN YANG DIUJI ALLAH S.W.T.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Kesimpulan Hadis:

1- Sabar menghadapi cubaan boleh menghapuskan segala dosa.
2- Cubaan yang paling dahsyat adalah cubaan yang dihadapi oleh para nabi kemudian orang-orang soleh seterusnya ke bawah secara berturut-turut


SETIAP UMAT ADA UJIANNYA

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 

Kesimpulan Hadis: 

Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram.


Tenanglah Duhai Hati




Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

SUMBER: mr-tazkirah.blogspot.com

7 Amal Soleh Yang Patut Diamalkan Selalu


Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sekejap ini sebaik mungkin untuk kebahagian hidup yang kekal di akhirat kelak.

Kita hidup bukan untuk hidup. Tetapi kita hidup untuk YANG MAHA HIDUP. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati tetapi sentiasa bersiap untuk mati. Kerana, mati itu pasti. Mati itu adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT.

Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya. Jadi sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan kepada Allah ta’ala,

Dalam kita bersiap untuk mati, maka sewajarnya cuba kita renung-renungkan 7 amalan mulia di bawah ini. Adakah kita sudah mengamalkannya?

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata kita membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh kefahaman.

Ketiga:
Jangan tinggalkan(pergi ke) masjid terutama di waktu Subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid dulu. Masjid merupakan pusat keberkatan. Kita pergi ke masjid bukan kerana panggilan muadzin, tetapi kerana menyahut panggilan Allah yang sangat sukakan orang memakmurkan masjid.

Keempat:
Jaga solat dhuha. Solat Dhuha banyak kelebihan. Dikatakan kunci keberkatan rezeki itu terletak pada 
solat Dhuha.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah. Dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah sangat menyayangi hambaNya yang berwudhu. Kata Sayyidina Ali radhiallahu’anhu; “Orang yang selalu berwudhu senantiasa, dia akan merasa seolah-olah selalu bersolat, walaupun pada ketika itu dia tidak bersolat (solat sunat), dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, iaitu diampunkan dosa dan disayangi dia oleh Allah”.

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan 
dijauhkan oleh Allah.

Sahabat-sahabat semua. Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir. Oleh itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah.
Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling berkhasiat. Dengan zikir berbagai kejahatan dapat dijauhi. Sikap materialistik (gila dunia) dan hedonistik (gila hiburan) dapat dikurangkan dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah.

Ayuhlah kawan-kawan semua. Beringatlah sebelum maut datang menjelma.

SUMBER:pakarhowto.com


6 Cara Bagaimana Untuk Disayangi





1- SUKA PADA ORANG LAIN
Syarat pertama dan utama untuk anda disukai orang ialah ANDA MESTI SUKA PADA ORANG LAIN dulu. Anda seharusnya mempunyai perasaan minat dan suka pada orang lain dengan ikhlas. Kalau anda tak suka pada orang lain, mana mungkin anda akan disukai oleh orang lain pula?

2- SENYUM
Senyumlah sentiasa. Semua orang suka pada orang yang murah senyumannya. Senyumlah dari hati. Walaupun muka/wajah anda tak hensem, tapi kalau anda senyum, pasti nampak lebih manis dan menarik. Jadi, banyakklah senyum kerana senyum itu sedekah.

3- INGAT NAMA ORANG LAIN dan UCAPKAN NAMA ITU DENGAN NADA YANG PALING BAIK.
Semua orang suka kalau namanya diingati. Cuba bayangkan kalau ada kawan anda yang tidak mengingati nama anda. Apa perasaan anda? Jadi, sila ingat betul2 nama seseorang jika ingin disukai. Dan kalau boleh, ingat nama panggilan yang paling disukainya dan sebutlah nama tersebut dengan panggilan paling baik dan mesra.

4- JADILAH PENDENGAR YANG BAIK
Jadilah pendengar yang baik lagi setia kalau mahu diri anda disukai. Pokoknya, bagaimana mahu menjadi pendengar yang setia?? Senang saja, kurangkan bercakap tentang diri sendiri sebaliknya banyakkan memberi peluang kepada orang lain untuk bercerita tentang diri mereka. Tanya soalan dan beri dorongan kepada orang lain supaya mereka seronok bercerita tentang kisah2 dan pengalaman mereka.

5- BERCAKAP HANYA PADA TOPIK/ISU YANG MENARIK PERHATIAN ORANG LAIN
Kalau anda suka bercerita dan bercakap, pastikan anda hanya bercakap tentang perkara2 yang disukai/diminati oleh orang lain. Kalau mereka minat politik, cakap hanya pasal politik. Kalau mereka minat pasal bola, cakaplah pasal bola. Jangan banyak bercakap pasal apa yang anda minat. Kalau anda hanya suka bercakap pasal perkara yang anda minat, pasti orang lain akan berasa jemu dan bosan dengan anda. Jadi ingat! Hanya bercakap tentang perkara2 yang orang lain minat.

6- BUATKAN ORANG LAIN RASA DIRI MEREKA ITU SANGAT PENTING DAN DIHARGAI
Kalau boleh cuba buatkan orang lain berasa bahawa diri mereka itu sangat penting pada anda. Dan anda sangat menghargai diri mereka. Buatlah mereka berasa sedemikan DENGAN IKHLAS. Tunjukkan keihkhlasan anda pada mereka. Hormati dan hargailah mereka seadanya.

SUMBER:pakarhowto.com

Mahkamah Hati




Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga.
1.Mahkamah Di Dunia
2.Mahkamah Di Akhirat
3.Mahkamah Hati

Pertama : Mahkamah di dunia
Yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.

Kedua : Mahkamah di akhirat
Yang hakimnya adalah Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya “body” yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.


Ketiga: Mahkamah hati
Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.

Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.
Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati!

Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab:
“Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”

Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita.
Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!


Artikel ini ialah tulisan : Ustaz Pahrol Mohd Juoi                            

10 Surah Yang Banyak Kelebihan


Surah Al-Fatihah : dapat memadam kemurkaan Allah SWT.

Surah Yasin : dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Kiamat.

Surah Dukhan : dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.

Surah Al-Waqiah : dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.

Surah Al-Mulk : dapat meringankan azab di dalam kubur.

Surah Al-Kauthar : dapat merelaikan segala perbalahan.

Surah Al-Kafirun : dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.

Surah Al-Ikhlas : dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.

Surah Al-Falaq : dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.

Surah An-Nas : dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.

Kalau boleh hafal semua surah-surah tu lagi bagus. Hafal dan amalkan sokmo2. Semoga saya dan tuan-puan semua dapat amal. Sama-sama lah kita usaha untuk amal ilmu yang kita ada. 

SUMBER:pakarhowto.com


Salam Maal Hijrah 1433H


KEWAJIPAN MENUTUP AURAT


AURAT DALAM ISLAM   

MUKADDIMAH

Dewasa ini kita sering didedahkan di dada akhbar tentang perilaku sumbang mahram, perlakuan seks luar tabi'e dan kes rogol yang bukan sahaja melibatkan orang luar tetapi keluarga sendiri seperti bapa rogol anak,abang rogol adik kandung dan sebagainya.

Kejadian "Haruan makan anak" adalah kes yang lumrah hingga tidak menimbulkan perasaan gerun,marah,simpati kepada masyarakat.
antara faktor terjadinya perkara di atas, adalah pengabaian kaum hawa dalam perkara-perkara yang melibatkan tentang aurat mereka. Ini ditambah dengan pengaruh asing dalam dunia fesyen yang mudah mempengaruhi kaum wanita hingga meminggirkan soal-soal agama.

Kita tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.

PENGERTIAN AURAT

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Di dalam islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Di dalam risalah ini akan diterangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan aurat untuk dijadikan renungan dan tatapan bersama.

PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah al-ahzab ayat 33 yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada Allah dan rasulnya. Sesungguhnya Allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.
Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali.Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.

Dalam hal ini a\Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-ahzab ayat 59 yang bermaksud :
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani.

ASAS AURAT

Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita.Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :

1. Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Sendirian
Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat antara pusat dan lutut.

3. Aurat Ketika Bersama Mahram
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.

Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatsusila wanita terutana dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku.

Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki. Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu :
1.Suami
2.Ayah,termasuk datuk belah ibu dan bapa
3.Ayah mertua
4.Anak-anak lelaki termasuk cucu sama ada dari anak lelaki atau perempuan
5. Anak-anak suami

Dalam perkara ini islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.

6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa
7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya
8. Anak saudara dari saudara perempuan
9. Sesama wanita sama ada kaitan keturunan atau seagama
10. Hamba sahaya
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat
12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang telah mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

Imam Syafie berpendapat perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat diatas terbahagi kepada dua makna iaitu:

1. Perhiasan yang bersifat semulajadi seperti muka,pipi,mulut,mata,bibir,hidung,kaki,betis,peha dan lain-lain anggota.

2. Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek,cincin,rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.
Oleh itu, umat islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

4.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram
Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.

Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.

Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : " Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".

6. Aurat Ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.
Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya.

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

PAKAIAN DALAM ISLAM

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:

i. Pakaian itu hendaklah menutup aurat

ii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan.
Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid) , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.
Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab :" Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :" Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".

iii. Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan.

Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

iv. Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya.

v. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.
Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina".

vii. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.
Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan Allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan penuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.

KESIMPULAN

Di antara tujuan berpakaian itu, ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian-bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian yang semakin nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Justeru itu, tutuplah aurat dan berpakaianlah mengikut akhlak yang dianjurkan oleh islam.

Terbitan : Bahagian Pengurusan Dakwah,Jabatan Agama Islam Selangor.

~NukiLaN MaWaR~

~NuKiLaN MaWaR diGeMaRi~