Doa tidak termakbul disimpan untuk akhirat
BERDOA adalah suatu ibadat. Insan dianggap melakukan
kebaktian dan ibadat ketika berdoa kepada Tuhannya. Sama ada sesuatu doa
dimakbul atau tidak, pahalanya sentiasa ada di sisi Allah. Justeru, Rasulullah
bersabda yang bermaksud: "Doa adalah ibadat." Setiap doa pula dimakbulkan
dari tiga segi, iaitu:
Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang
biasanya menjadi harapan setiap orang yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang
memperoleh kurniaan hasil kesungguhan mereka berdoa. Kadangkala dengan begitu
pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui.
Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap mustahil
oleh manusia.
Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan
untuk balasan kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki Allah.
Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik daripada
Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana
tidak ada tukar ganti dengan dunia yang
sementara.
Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang dimohon. Akal manusia kadangkala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu. Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan menimpa. Insan terselamat daripada betapa banyak keburukan bukan kerana kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang barangkali berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.
Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepadaNya
dan jangan berputus asa untuk mendapatkan rahmatnya, selagi ia untuk kebaikan
diri kita dan sesama insan serta meminta perlindungan daripadaNya.
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan
taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."
