~Doa~


Ku Percaya Kan Ada Kemanisan Dipenghujung Sebuah Kesabaran

......"Ya Tuhan kami,janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami,ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami".....

Ya Allah, jadikan hati kami Khazinatul Asrar yang didalamnya dipenuhi Syajaratul Iman. Jadikanlah kami Raudatul Sakinah supaya kami membuktikan Elya Mahabbah kami hanya kepadaMu. Jadikanlah kami ini Ainul Mardhiah buat ibu bapa kami agar kami menjadi Qurratul 'Ayyun buat mereka. Jadikanlah pertuturan kami ini Layyinul Harir agar kami menjadi Khairun Nisa' dikalangan kami. Jadikanlah kami Mujahidah Solehah buat agama kami agar kami dapat masuk ke Jannatul Adnain milikMu Ya Allah. Dan berikanlah kepada kami di akhirat kelak cahaya syuhada' yang menjadi bukti perjuangan kami di muka bumiMu ini.amin......

Sabar Mencerminkan Keimanan


Tajuk :
Sabar Mencerminkan Keimanan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.”

Riwayat Bukhari


Huraian
i)             Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.

ii)            Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud al-Baqarah :156)

iii)           Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

iv)           Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

v)            Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan


Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Huraian

1.         Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.

2.         Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Memiliki Kemampuan Bersyukur


Memiliki Kemampuan Bersyukur
Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.”
(Bukhari)

Huraian

Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah 

i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya. 

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah. 

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ayatul Mahabbah ( Doa supaya dikasihi dan disayangi )


"saya mengamalkan doa tersebut selepas solat 5 waktu dan 
Alhamdullillah terasa diri ini sentiasa disayangi dan dikasihi 
oleh kawan2, rakan sekerja, majikan dan ahli keluarga. 
semuanya adalah dengan izinNYA"

-Mawar Izzah-

Zikir Mujarab Untuk Diamalkan



Zikir ini dinamakan dengan Bismillah Enam. Ada banyak kelebihan dan fadhilat zikir Bismillah Enam ni.
Jadi, kita sama-sama hafal dan amalkan sebagai zikir harian kita.
Berikut ni adalah beberapa kelebihan atau fadhilat Bismillah Enam ;

1.Makbul segala hajat dan cita-cita.


2.Luas rezekinya.

3.Jika ditiup kpd perempuan nescaya kasih ia kepada kita.

4.Menang dalam peperangan.

5.Penerang hati.

6.Diajuhkan dari segala penyakit.

7.Dibaca 70 kali tiap-tiap hari –> nescaya akan menjadi aman dari ancaman raja-raja dan pembesar yang zalim yang hendak membunuhnya.

8.Dibaca ditempat yang suci –> nescaya dapat melihat makhluk halus (jin, syaitan dan sebagainya)

9.Terselamat daripada binatang2 buas.

10.Air laut boleh menjadi tawar.

11.Terlepas daripada terkena bunuh juka dibaca kepada tubuh badan.

12.Dibaca pada sawah –> nescaya sawah bendang terselamat daripada ancaman babi, tikus atau burung.

13.Terselamat daripada bahaya musuh dan seteru.

14.Terselamat dari karam dilaut.

15.Jika dibaca pada minyak pada malam jumaat 3 kali –> nescaya boleh memudahkan perempuan beranak jika meminumnya.

16.Orang yang pekak jika dibaca pada telinganya selam 7 hari –> nescaya mendengar.

17.Orang gila atau yang dirasuk oleh iblis apabila dibaca ditelinga 3 kali —> insyaallah lari iblisnya.

18.Boleh tawarkan segala jenis bisa termasuk bisa sengat binatang seperti lebah, ular dan ikan.

19.Boleh tawarkan segala jenis racun dan santau, seperti yang diperbuat daripada miang rebung, hempedu katak dan sebagainya.

20.Akan dibebaskan daripada penjara apabila dibaca bersungguh-sungguh.

21.Dijadikan jampi untuk menghalau jin dan syaitan.

SUMBER:pakarhowto.com


18 Ciri-Ciri Suami Yang Soleh

*Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan RasulNya dan dapat pula membimbing isterinya

*Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir ataupun batin

*Suami yang sedia memberikan nasihat, bimbingan , dorongan , didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab rumah tangga dan juga terhadap Allah S.W.T.

* Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya.

*Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalaam hal keselamatan, kebajikan dan kesihatannya.

*Suami yang dapat menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan yang sempurna mengikut kemampuan

*Suami yang penyabar dan tidak mengggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapatkan sesuatu.

*Suami yang tidak cemburu buta tanpa asas terhadap isterinya yang mana boleh merosakkan keutuhan rumah tangga mereka.

*Sentiasa memberikan kasih sayang, belas kasihan dan pergaulan yang baik terhadap isterinya

* Suami yang sentiasa menjaga rahsia isterinya dan tidak didedahkan kepada orang lain

*Suami yang ikhlas dan jujur serta dapat menepati janji terhadap isteri dan anak-anak

*Suami yang menjauhkan diri dari perbuatan maksiat seeprti meminum minuman keras, berjudi, berzina, menipu, mencuri dan sebagainya

*Suami yang dapat memberikan penjagaan dan pemerhatian yang baik terhadap isterinya. Penjagaan ini meliputi semua hal termasuk kehormatannya

*Suami mestilah bijak memahami persaan dan hati isteri sama ada dengan perbuatan atau perkataan, jangan biarkan dirinya dalam keadaaan bersedih

* Suami yang sentiasa mengutamakan kebersihan diri, zahir dan batin.

*Suami mestilah menahan dirinya dari bergaul secara bebas dengan wanita lain.

*Suami yang dapat menyelidiki secara cermat dan teliti segala hal yang disampaikan oleh orang lain yang berkaitan dengan isterinya.

*Suami yang bijak dalam memimpin rumah tangganya dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta bertanggungjawab.


Ya Allah, Kau kurniakan aku seorang suami yang ku damba dalam hidupku iaitu suami yang soleh. Perkenankanlah doa dan impianku ini Ya Rabb.amin…..

Sayang Menyayangi


Hadith :
Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)

Huraian
Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. 

Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. 

Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.



Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”
(Riwayat Abu Daud)

Huraian:
Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.

Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.

Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

15 Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala


LIMA BELAS MAKSIAT YANG AKAN MENURUNKAN BALA

Ertinya:
Daripada  Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: “ Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1.Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2.Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3.Zakat dijadikan hutang.

4.Suami memperturutkan kehendak isteri.

5.Anak derhaka terhadap ibunya,

6.Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7.Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8.Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9.Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10.Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11.Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12.Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13.Para artis-artis disanjung-sanjung.

14.Muzik banyak dimainkan.

15.Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain".

(H.R Termizi)

Keterangan

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.
-dipetik daripada 40 hadith peristiwa akhir zaman



Ujian Allah S.W.T


ORANG MUKMIN YANG DIUJI ALLAH S.W.T.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Kesimpulan Hadis:

1- Sabar menghadapi cubaan boleh menghapuskan segala dosa.
2- Cubaan yang paling dahsyat adalah cubaan yang dihadapi oleh para nabi kemudian orang-orang soleh seterusnya ke bawah secara berturut-turut


SETIAP UMAT ADA UJIANNYA

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 
"Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. " 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 

Kesimpulan Hadis: 

Allah s.w.t menjadikan harta sebagai perhiasan kehidupan dunia dan menjadikan fitrah kejadian manusia lebih cenderung kepada harta dan suka mengumpul harta, oleh yang demikian umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam mengumpulkan harta di mana dia hendaklah mengumpulkan harta yang halal dan menjauhkan diri dari mengumpulkan harta yang haram.


Tenanglah Duhai Hati




Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

SUMBER: mr-tazkirah.blogspot.com

7 Amal Soleh Yang Patut Diamalkan Selalu


Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sekejap ini sebaik mungkin untuk kebahagian hidup yang kekal di akhirat kelak.

Kita hidup bukan untuk hidup. Tetapi kita hidup untuk YANG MAHA HIDUP. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati tetapi sentiasa bersiap untuk mati. Kerana, mati itu pasti. Mati itu adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT.

Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya. Jadi sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan kepada Allah ta’ala,

Dalam kita bersiap untuk mati, maka sewajarnya cuba kita renung-renungkan 7 amalan mulia di bawah ini. Adakah kita sudah mengamalkannya?

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata kita membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh kefahaman.

Ketiga:
Jangan tinggalkan(pergi ke) masjid terutama di waktu Subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid dulu. Masjid merupakan pusat keberkatan. Kita pergi ke masjid bukan kerana panggilan muadzin, tetapi kerana menyahut panggilan Allah yang sangat sukakan orang memakmurkan masjid.

Keempat:
Jaga solat dhuha. Solat Dhuha banyak kelebihan. Dikatakan kunci keberkatan rezeki itu terletak pada 
solat Dhuha.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah. Dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah sangat menyayangi hambaNya yang berwudhu. Kata Sayyidina Ali radhiallahu’anhu; “Orang yang selalu berwudhu senantiasa, dia akan merasa seolah-olah selalu bersolat, walaupun pada ketika itu dia tidak bersolat (solat sunat), dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, iaitu diampunkan dosa dan disayangi dia oleh Allah”.

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan 
dijauhkan oleh Allah.

Sahabat-sahabat semua. Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir. Oleh itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah.
Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling berkhasiat. Dengan zikir berbagai kejahatan dapat dijauhi. Sikap materialistik (gila dunia) dan hedonistik (gila hiburan) dapat dikurangkan dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah.

Ayuhlah kawan-kawan semua. Beringatlah sebelum maut datang menjelma.

SUMBER:pakarhowto.com


6 Cara Bagaimana Untuk Disayangi





1- SUKA PADA ORANG LAIN
Syarat pertama dan utama untuk anda disukai orang ialah ANDA MESTI SUKA PADA ORANG LAIN dulu. Anda seharusnya mempunyai perasaan minat dan suka pada orang lain dengan ikhlas. Kalau anda tak suka pada orang lain, mana mungkin anda akan disukai oleh orang lain pula?

2- SENYUM
Senyumlah sentiasa. Semua orang suka pada orang yang murah senyumannya. Senyumlah dari hati. Walaupun muka/wajah anda tak hensem, tapi kalau anda senyum, pasti nampak lebih manis dan menarik. Jadi, banyakklah senyum kerana senyum itu sedekah.

3- INGAT NAMA ORANG LAIN dan UCAPKAN NAMA ITU DENGAN NADA YANG PALING BAIK.
Semua orang suka kalau namanya diingati. Cuba bayangkan kalau ada kawan anda yang tidak mengingati nama anda. Apa perasaan anda? Jadi, sila ingat betul2 nama seseorang jika ingin disukai. Dan kalau boleh, ingat nama panggilan yang paling disukainya dan sebutlah nama tersebut dengan panggilan paling baik dan mesra.

4- JADILAH PENDENGAR YANG BAIK
Jadilah pendengar yang baik lagi setia kalau mahu diri anda disukai. Pokoknya, bagaimana mahu menjadi pendengar yang setia?? Senang saja, kurangkan bercakap tentang diri sendiri sebaliknya banyakkan memberi peluang kepada orang lain untuk bercerita tentang diri mereka. Tanya soalan dan beri dorongan kepada orang lain supaya mereka seronok bercerita tentang kisah2 dan pengalaman mereka.

5- BERCAKAP HANYA PADA TOPIK/ISU YANG MENARIK PERHATIAN ORANG LAIN
Kalau anda suka bercerita dan bercakap, pastikan anda hanya bercakap tentang perkara2 yang disukai/diminati oleh orang lain. Kalau mereka minat politik, cakap hanya pasal politik. Kalau mereka minat pasal bola, cakaplah pasal bola. Jangan banyak bercakap pasal apa yang anda minat. Kalau anda hanya suka bercakap pasal perkara yang anda minat, pasti orang lain akan berasa jemu dan bosan dengan anda. Jadi ingat! Hanya bercakap tentang perkara2 yang orang lain minat.

6- BUATKAN ORANG LAIN RASA DIRI MEREKA ITU SANGAT PENTING DAN DIHARGAI
Kalau boleh cuba buatkan orang lain berasa bahawa diri mereka itu sangat penting pada anda. Dan anda sangat menghargai diri mereka. Buatlah mereka berasa sedemikan DENGAN IKHLAS. Tunjukkan keihkhlasan anda pada mereka. Hormati dan hargailah mereka seadanya.

SUMBER:pakarhowto.com

Mahkamah Hati




Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga.
1.Mahkamah Di Dunia
2.Mahkamah Di Akhirat
3.Mahkamah Hati

Pertama : Mahkamah di dunia
Yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.

Kedua : Mahkamah di akhirat
Yang hakimnya adalah Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya “body” yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.


Ketiga: Mahkamah hati
Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran.

Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.
Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati!

Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab:
“Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”

Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak. Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita.
Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!


Artikel ini ialah tulisan : Ustaz Pahrol Mohd Juoi                            

~NukiLaN MaWaR~

~NuKiLaN MaWaR diGeMaRi~